Rakyat Malaysia, Brunei berjaya dibawa pulang dari India

0
2

RAKYAT Malaysia dan Brunei yang berada di New Delhi dan Mumbai, India berjaya dibawa pulang ke tanah air pagi tadi melalui misi repatriasi susulan kes Covid-19 yang semakin meningkat di negara itu. 
Kesemuanya selamat tiba di Unit Kecemasan Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 1 pagi tadi dengan pesawat sewaan khas Malindo Air. 
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pagi ini, memaklumkan, misi itu berjaya membawa pulang seramai 132 individu iaitu seramai 117 orang rakyat Malaysia dan enam orang tanggungan serta seorang pemegang status penduduk tetap Malaysia.
Kenyataan itu menyebut, misi terbabit turut membantu membawa pulang lapan warga Brunei.
“Mengambil kira hubungan erat dan istimewa yang sedia terjalin antara Malaysia dengan Brunei, kerajaan Malaysia turut menghulurkan bantuan untuk membawa pulang lapan warga Brunei dalam misi repatriasi ini. 
“Kesemua penumpang, kru dan pegawai-pegawai barisan hadapan yang terbabit dalam menjayakan misi ini adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM),” menurut kenyataan itu. 
Menurutnya, antara SOP yang perlu dipatuhi adalah mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19 yang disahkan negatif dalam tempoh tidak lebih daripada 72 jam sebelum pelepasan; ketibaan penerbangan repatriasi ini secara berasingan di Unit Kecemasan Udara, juga dikenali sebagai Air Disaster Unit (ADU) dan Pemeriksaan dan tapisan kesihatan yang ketat oleh KKM sewaktu ketibaan. 
Selain itu, semua mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan dan pemantauan tahap kesihatan secara berterusan dilakukan terhadap semua penumpang termasuk kru dan pegawai barisan hadapan yang terbabit, oleh KKM sehingga tamat tempoh kuarantin.
Katanya, kejayaan misi itu hasil kerjasama erat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), KKM, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai serta agensi-agensi lain yang berkaitan.
“Kementerian Luar mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan misi ini.
“Kementerian akan terus memantau situasi pandemik Covid-19 di India dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here