PRESMA mohon kerajaan beri moratorium

0
3

PERSATUAN Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) memohon kerajaan memberikan moratorium tanpa faedah sehingga akhir tahun kepada peniaga yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata pelaksanaan satu lagi PKP memberi kesan langsung kepada pengusaha restoran dan ahli PRESMA di seluruh negara.

Katanya, dengan adanya morotarium, ia akan membantu peniaga beroperasi ketika PKP di mana ‘dine-in’ masih lagi tidak dibenarkan.

“Kedua, PRESMA juga mencadangkan kepada kerajaan agar meneliti pelaksanaan subsidi kadar sewa membabitkan premis niaga pada kadar 50 peratus.

“Ini membantu pengusaha mengoptimumkan pendapatan yang berkurangan akibat PKP.

“Ketiga, PRESMA berharap institusi kewangan mempertimbangkan kadar faedah setara bagi pinjaman yang tertunggak lebih tiga bulan,” katanya menerusi kenyataan.

Jawahar Ali berkata lazimnya kadar faedah akan dinaikkan melebihi lima peratus seperti sebelum ini.

“Kami juga merayu kerajaan melanjutkan potongan 25 peratus kadar levi untuk pekerja asing seperti mana diberikan ketika PKP 1.0 yang tamat pada 31 Disember 2020.

“Sudah tentu bagi peniaga yang terjejas, keupayaan untuk membayar semula pinjaman agak terhad berbanding ketika perniagaan seperti biasa sebelum ini,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini, semua ahli PRESMA yang terkesan masih belum pulih sepenuhnya dan bersedia dengan sebarang kemungkinan susulan penularan wabak ini.

“PRESMA berharap kerajaan akan memberi pertimbangan kepada perkara yang dibangkitkan dan ia diguna pakai setiap kali pelaksanaan PKP selepas ini,” katanya.

PKP dikuatkuasakan di seluruh negara bermula esok sehingga 7 Jun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here