PKP di seluruh negara bermula 12 Mei

0
3

KERAJAAN memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) seluruh negara berkuatkuasa 12 Mei ini hingga 7 Jun.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah memutuskan untuk mengambil langkah-langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak. 

“Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional. 

“Kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat menuntut Kerajaan untuk mengambil tindakan yang lebih drastik bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu hasil mesyuarat sidang khas MKN mengenai pengurusan Covid-19 yang beliau pengerusikan hari ini.

Menurutnya, data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan Covid-19. 

“Rantaian jangkitan Covid-19 hanya dapat diputuskan dengan menggalakkan orang ramai duduk di rumah menerusi kawalan pergerakan yang lebih ketat,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here