KES jangkitan Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat 15.3 peratus pada minggu epid ke-18 iaitu antara 2 hingga 8 Mei lalu berbanding minggu ke-17.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sehingga Sabtu lalu, sebanyak 393 kes dirujuk ke ICU dengan purata kes ICU sebanyak 355 kes untuk minggu ke-18.
“Purata 355 kes ICU untuk minggu ke-18, dengan peningkatan 15.3 peratus berbanding minggu ke-17.
“Peningkatan kes ICU dilihat sejak tujuh minggu kebelakangan ini bermula pada minggu ke-11,” katanya seperti dilapor Berita Harian
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), sebentar tadi.
Pada masa sama, Dr Adham berkata, sebanyak 53.4 peratus atau 210 kes di ICU memerlukan alat bantuan pernafasan sehingga Sabtu lalu.
Beliau berkata, secara purata, seramai 192 pesakit di ICU memerlukan alat bantuan pernafasan pada minggu ke-18, iaitu peningkatan sehingga 30.6 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 136 kematian berkaitan Covid-19 di seluruh negara sepanjang tempoh sama iaitu dengan peningkatan 43.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.
“Peningkatan itu adalah dengan purata 19 kes kematian setiap hari dan peningkatan itu dilihat berlaku sejak minggu ke-12,” katanya.
Minggu epid ke-18 juga menyaksikan peningkatan sehingga 83.3 peratus kluster di tempat kerja membabitkan pertambahan 44 kluster berbanding hanya 24 kluster yang dikenal pasti pada minggu ke-17.
Katanya, jumlah keseluruhan kluster jangkitan Covid-19 yang dikenal pasti sehingga minggu ke-18 adalah 1,775.
Turut menunjukkan peningkatan adalah kluster komuniti dan aktiviti keagamaan iaitu masing-masing 32 serta 14.3 peratus dalam tempoh sama.
Dr Adham berkata, sebanyak 33 kluster komuniti dikesan berbanding minggu epid sebelumnya iaitu 25 kluster, manakala lapan kluster baharu dikesan bagi kluster aktiviti keagamaan.
“Bagaimanapun, kluster membabitkan institusi pendidikan hanya merekodkan 19 kluster berbanding 24 kluster pada minggu sebelumnya.
“Kluster pusat tahanan dan kluster golongan berisiko turut menunjukkan penurunan iaitu hanya melaporkan satu kes pada minggu berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

