ANGKA Covid-19 tidak menentu sejak beberapa hari ini bukanlah satu jumlah yang sengaja diada-adakan seperti mana dakwaan segelintir individu.
Mentari Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan serius dalam usaha memastikan penularan pandemik ini diputuskan dan telah mengenalpasti bahawa peningkatan kes Covid-19 berlaku disebabkan pelbagai faktor.
“Namun begitu, usaha terbaik bagi menurunkan angka jangkitan wabak ini dan seterusnya melandaikan grafnya adalah dengan sikap kita sendiri.
“Saya yakin, kita akan mampu untuk melawan Covid-19 ini dengan meningkatkan kawalan kendiri, patuhi prosedur standard operasi atau SOP yang telah ditetapkan, cakna dengan persekitaran dan yang utama sekarang ini hadkan pergerakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, langkah ini mesti dilaksana di semua peringkat dan usaha ini hanya akan dapat dicapai sepenuhnya dengan kerjasama padu semua peringkat dari frontliners, masyarakat hinggalah kepada individu perseorangan.
“Kita mesti disiplinkan diri kita untuk menang. Saya yakin, Insya Allah kita mampu untuk memutuskan rangkaian Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

