Peniaga Bazar Aidilfitri Jalan TAR kecewa ditamatkan awal

0
3

HARI terakhir operasi bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) berlaku sedikit salah faham antara penganjur, peniaga dan penguatkuasa berkaitan waktu operasi mula berniaga.

Ibarat seperti sudah jatuh ditimpa tangga, perniagaan yang sepatutnya dijalankan sehingga akhir Ramadan terpaksa akur ditamatkan pada hari ini, namun berlaku pula kekeliruan waktu operasi perniagaan.

Menurut laporan Sinar Harian, pada hari terakhir peniaga hanya dibenarkan beroperasi lewat berbanding kebiasaan kerana salah faham di antara penganjur, peniaga dan penguatkuasa yang bertugas.

Difahamkan peniaga pada mulanya diarah memberhentikan operasi, tetapi kemudian dimaklumkan boleh berniaga semula kira-kira jam 1 tengah hari.

Ramai peniaga kecewa terhadap salah faham tersebut serta arahan yang dikeluarkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu.

Menurut peniaga baju Melayu, Raid Mohd Radzi, 21, dia kecewa kerana tidak dibenarkan beroperasi sehingga akhir Ramadan seperti yang pernah diumumkan sebelum ini.

Dia yang berniaga bersama bapa saudaranya hanya mendapat pulangan modal dan tidak mendapat untung jualan tahun ini.

“Pakcik saya sudah mengeluarkan kira-kira RM70,000 untuk memulakan jualan belum termasuk sewa tapak yang harganya antara RM10,000 hingga RM15,000,” katanya.

Menurut peniaga kerepek, Firdaus Wahab, 28, dia berharap selepas ini, semua pengumuman dapat disalurkan dengan menggunakan medium yang betul dan tepat serta dilakukan awal bagi mengelakkan kerugian kepada peniaga.

Katanya, sebagai penjual barangan makanan seperti kerepek dan kuih, mereka tidak boleh simpan stok terlalu lama berbanding pakaian dan barang hiasan.

“Kami sudah banyak mengambil stok, tetapi terpaksa menjual secara dalam talian bagi mengelakkan kerugian,” katanya.

Bagi peniaga baju kurung, Marhini Marsido pula berharap, akan ada bantuan kepada peniaga yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kalau boleh bagi bantuan kepada kami atau penganjur bagi pampasan sedikit sebab kami sewa tapak sehingga hujung Ramadan.

“Sekurang-kurangnya terubat juga kesedihan kami yang tidak boleh berniaga sehingga hujung Ramadan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here