POLIS mengemas kini SOP pergerakan rentas negeri dan daerah termasuk sama ada memadai hanya menggunakan surat majikan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) seperti dilaksanakan sebelum ini.
Ini berikutan arahan kerajaan supaya aktiviti berkenaan dilarang jika tanpa kebenaran polis di seluruh negara bermula esok hingga 6 Jun ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, SOP itu termasuk keperluan kebenaran daripada polis, jika individu mempunyai surat majikan atau kebenaran MITI untuk pergerakan terbabit.
“Kerajaan umum pergerakan negeri dan daerah mulai esok hingga awal Jun ini di seluruh negara perlu ada kebenaran polis.
“Kita sedang bincang SOP perkara itu kerana arahan baru dikeluarkan semalam.
“Persoalan sama ada memadai guna surat majikan dan MITI untuk aktiviti itu antara perkara dibangkitkan,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.
Sementara itu, berkaitan kesalahan individu merentas negeri dan daerah tanpa surat kebenaran, Abd Rahim berkata, pihaknya masih menggunakan budi bicara dengan mengarahkan pengguna jalan raya berkaitan untuk berpatah balik.
Bagaimanapun, katanya, polis akan terus kompaun mereka yang masih berkeras dan berdegil ‘curi-curi’ rentas kawasan terbabit.
“Saya tiada maklumat berapa ramai individu diarah berpatah balik atau dikompaun kerana kesalahan itu berlaku baru-baru ini.
“Namun, saya ada terima laporan banyak kenderaan diminta berpatah balik ketika melalui jalan raya utama untuk memasuki Kelantan, semalam.
“Sekarang ini memang ada individu dibenarkan merentas untuk mengambil anak mereka di universiti pulang ke rumah masing-masing, namun ada pihak lain cuba ambil kesempatan balik kampung,” katanya.
Hari ini media melaporkan sebanyak 1,060 kenderaan diarahkan berpatah balik ketika melalui tiga sekatan jalan raya utama untuk memasuki Kelantan. – Malaysiapost

