SEBAHAGIAN daripada kira-kira 200 penduduk Taman Tanah Putih Baru, Kuantan yang lesap, dipercayai meninggalkan kediaman mereka sebelum kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 5 Mei lalu, telah pulang ke kediaman masing-masing.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, setakat ini difahamkan 58 orang sudah pulang dan mereka juga telah menjalani saringan Covid-19.
“Kita tidak tahu mengapa mereka keluar dari rumah sejurus sebelum PKPD berkuat kuasa, namun kita harap mereka yang belum tampil dapat hadir menjalani saringan sehingga esok atau menghubungi polis untuk memaklumkan keberadaan mereka untuk tindakan selanjutnya.
“Mereka perlu menjalani ujian saringan supaya kluster di taman perumahan itu tamat secepat mungkin. Kejadian tidak diingini juga dibimbangi boleh berlaku jika penduduk tidak tahu status kesihatan masing-masing.
“Jika perlu, kita akan memanjangkan tempoh saringan asalkan mereka datang,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.
Sallehuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata demikian kepada kepada pemberita selepas meninjau proses saringan terhadap kontak rapat kluster dan individu positif di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.
Dalam pada itu, Sallehuddin berkata, beberapa pasar raya diminta menghantar barangan asas ke kedai dalam lokaliti PKPD di Pahang selepas difahamkan barangan runcit di kedai dalam kawasan berkenaan semakin berkurangan, selain untuk membantu penduduk membuat persiapan raya.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga menyalurkan bantuan termasuk makanan asas kepada penduduk dalam kawasan PKPD dan mereka yang diwajibkan menjalani kuarantin di rumah, mengikut jumlah bantuan ditetapkan sebelum ini. – Malaysiapost

