Guru dikompaun RM5,000 rentas negeri untuk ambil buku

0
2

SEORANG guru dikenakan denda RM5,000 kerana memberi alasan hendak mengambil buku di Kuala Terengganu.

Wanita malang itu dikompaun susulan anggota keselamatan melakukan pemeriksaan ketat ke atas setiap pemandu dan penumpang kenderaan yang hendak merentas negeri di Plaza Tol Bentong, Pahang, seperti dilaporkan Astro Awani, hari ini.

Ketika ditemui, wanita itu berhasrat untuk merentas negeri, tetapi tidak kesampaian dan tambah menyedihkan, dia terpaksa pula menghadap surat kompaun yang dikeluarkan polis.

Dengan wajah duka, wanita yang sedang duduk merenung nasib di bawah khemah sekatan jalan raya (SJR), mengakui tidak dibenarkan merentas negeri menaiki bas ekspres apabila melalui SJR.

Wanita berkenaan yang juga seorang guru di sebuah sekolah agama mendakwa, dia pergi ke balai polis berhampiran kediamannya di Selangor dan dimaklumkan anggota bertugas, tidak memerlukan sebarang cop kebenaran kerana sudah mempunyai surat majikan.

“Saya dapat kebenaran dari surat sekolah, bila pergi ke balai polis, mereka cakap boleh lepas tanpa cop balai.

“Dia cakap boleh lepas dengan menggunakan surat sekolah tanpa cop polis, jadi saya pun balik beli tiket (bas), dah naik bas sampai di Tol Bentong ini, kena tahan kena turun bas.

“Polis yang buat pemeriksaan di Tol Bentong ini cakap tak lepas, sebab (saya) tiada cop polis. Di balai di kediaman saya di Shah Alam lepas, di sini tak lepas pulak sebab tak ada cop polis,” katanya yang kebingungan.

Menunggu hampir satu jam, akhirnya wanita itu pulang semula ke Shah Alam dengan bantuan bapa saudaranya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran polis di seluruh negara tidak dibenarkan mulai 10 Mei sehingga 6 Jun ini.

Bagaimanapun, menurut Ismail Sabri, mereka yang perlu merentas daerah atas faktor kerja, tidak memerlukan permit atau kebenaran polis, sebaliknya memadai dengan mengemukakan surat pengesahan syarikat. – Malaysiapost

Foto Kredit: Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here