POLIS Kelantan menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah didalangi seorang Datin yang berselindung di sebalik penjualan kosmetik, susulan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM2.34 juta.
Rampasan melihatkan 180,000 biji pil yaba dan 14.9 kilogram (kg) syabu menerusi serbuan di sekitar Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas sejak kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata dalam serbuan itu 11 individu berusia 23 hingga 48 tahun ditahan terdiri tujuh lelaki dan empat wanita warga Thailand termasuk usahawan kosmetik bergelar Datin, lapor Harian Metro.
Jelasnya, kumpulan dikenali sebagai ‘sindiket Datin’ itu ditumpaskan susulan risikan dan intipan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan sejak beberapa minggu lalu.
“Pada jam 4.30 petang kelmarin, polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Kota Bharu dan merampas dua botol plastik mengandungi cecair kehitaman disyaki kodein dan 180,000 biji pil kuda.
“Susulan tangkapan itu, polis menahan dua lagi lelaki dalam sebuah kereta di Kampung Kedai Mulong dan merampas 17 bungkusan mengandungi syabu seberat 14.9 kg.
“Seterusnya, pada hari sama polis menahan lapan individu iaitu empat lelaki tempatan dan empat wanita warga Thailand di tiga daerah,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu hari ini.
Shafien berkata, sindiket itu didalangi seorang wanita warga Thailand bergelar Datin berusia 48 tahun.
Katanya, polis turut menyita enam kereta, dua motosikal, barang kemas serta wang tunai bernilai lebih RM300,000.
Kesemua suspek direman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Malaysiapost

