DBKL tutup premis hiburan ‘BOLLYWOOD’

0
2

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerbu sebuah premis hiburan yang beroperasi tanpa kebenaran dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kompleks Wilayah, Bukit Bintang, malam tadi.

Operasi menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) DBKL itu dijalankan setelah menerima aduan awam dan risikan bagi mengenalpasti modus operandi dan laluan keluar masuk ke premis tersebut.

DBKL menerusi kenyataan berkata premis ‘’hidden club’’ ini menggunakan laluan pintu belakang (pintu kecemasan) bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelak aktiviti mereka dilihat oleh orang ramai.

“Selain itu, pintu hadapan premis ini mengandungi dua lapisan termasuk satu pintu tebal yang berfungsi sebagai pintu kedap bunyi bagi mengelak bunyi bising muzik didengari orang luar.

“Seramai empat wanita warga Bangladesh yang bertugas sebagai pelayan dan penari berada di dalam premis semasa serbuan dilakukan,” kata kenyataan itu.

Menurut DBKL, tindakan sita turut dilakukan terhadap 14 peralatan berkaitan aktiviti itu antaranya komputer riba, mixer, mikrofon dan lain-lain.

DBKL turut mengeluarkan satu Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan 1992 dan jika disabitkan kesalahan, pemilik premis boleh didenda sehingga RM50,000.

“Selain itu satu notis kompaun dikenakan di bawah Undang Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 kerana menyalahgunakan lesen restoran / kedai makan dengan menjual dan menghidangkan minuman keras tanpa kebenaran yang sah dan boleh didenda sehingga RM2,000,” katanya.

DBKL memaklumkan operasi itu dilaksanakan mengikut bidang kuasa, peruntukan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) DBKL dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here