MANCHESTER City sepatutnya merayakan kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris kali kelima dalam tempoh sembilan tahun pada awal pagi tadi.
Namun hasrat mereka tertangguh apabila tewas 1-2 kepada Chelsea di gelanggang sendiri – lawan yang bakal ditentangnya dalam final Liga Juara-Juara, hujung bulan ini.
Segalanya tampak seakan memihak kepada City apabila Raheem Sterling meletakkan skuad bimbingan Pep Guardiola di hadapan seminit sebelum tamat babak pertama.
Ketika masa kecederaan babak pertama, Sergio Aguero berpeluang menambah kelebihan City apabila dihadiahkan sepakan penalti, namun sepakannya mudah diselamatkan penjaga gol Chelsea, Édouard Mendy.
Kegagalan Aguero itu membangkitkan semangat Chelsea untuk bangkit pada babak kedua apabila Hakim Ziyech menyamakan kedudukan pada minit ke-63.
Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Marcos Alonso memastikan Chelsea pulang dengan tiga mata menerusi jaringan pada minit ke-92.
City bagaimanapun boleh mengesahkan kejuaraan malam ni, jika pencabar terdekat Manchester United tewas kepada Aston Villa. – Malaysiapost

