10,409 warga kerja TNB bertugas sepanjang Aidilfitri

0
3

TENAGA Nasional Berhad (TNB) meneruskan amanahnya dalam menjamin bekalan elektrik sempurna kepada pengguna dengan meletakkan 10,409 warga kerjanya bertugas atau dalam keadaan tunggu sedia di sektor kritikal sepanjang Aidilfitri.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pada waktu perayaan yang besar seperti Aidilfitri, anggota kerja TNB sekali lagi meneruskan tugas memastikan bekalan elektrik yang berterusan demi kebaikan masyarakat secara menyeluruh.

“Warga kerja TNB bertugas tatkala orang lain menyambut perayaan di rumah bersama keluarga.

“Ini sebahagian pengorbanan amat hebat yang saya amati sepanjang setahun berkhidmat sebagai Pengerusi TNB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengagihan bingkisan kuih raya disediakan Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS) kepada warga kerja TNB di Ibu Pejabat TNB Jalan Bangsar, baru-baru ini.

PELITAWANIS TNB menyiapkan 10,409 pek bingkisan kuih raya untuk diagihkan kepada warga kerja TNB yang bakal bertugas dan tunggu sedia di Semenanjung dan Sabah pada 1 Syawal kelak.

Tradisi penyediaan dan pembungkusan bingkisan raya telah dilakukan TNB melalui PELITAWANIS sejak tahun 2005.

Ia sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja yang bertungkus-lumus memastikan bekalan elektrik kekal selamat dan stabil sepanjang Aidilfitri, khususnya ketika negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir Baharin Din berkata tradisi selama 17 tahun itu diharap dapat memberi keceriaan kepada anggota kerja yang bertugas.

“Kelangsungan pembekalan elektrik di negara ini didukung oleh khidmat bakti anggota kerja, baik di barisan hadapan mahu pun mereka yang menyokong di belakang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk terus memastikan amalan keselamatan elektrik dipatuhi sepanjang persiapan menyambut Aidilfitri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here