Covid-19: Jangan jadi seperti Malaysia, kata Kementerian Kesihatan Indonesia

0
3

KEMENTERIAN Kesihatan Indonesia menjadikan kes Covid-19 di Malaysia dan India sebagai contoh untuk menggesa rakyat mereka supaya duduk rumah dan berhati-hati dengan peningkatan kes kini.

Perkara tersebut dimaklumkan kementerian tersebut menerusi Twitter, baru-baru ini.

Amaran itu muncul selepas keadaan penularan wabak di negara itu kian stabil menjelang Hari Raya, manakala Malaysia dan India kini mengalami peningkatan kes.

“Belajar dari India dan Malaysia, kita tentunya tidak ingin Indonesia mengalami hal yang sama.

“Masyarakat diimbau untuk semakin ketat menerapkan protokol kesihatan 3M dan mengurangi mobilitas ke luar rumah apabila tidak mendesak,” ciap kementerian itu.

3M tersebut merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka, cuci tangan dan penjarakan fizikal.

Pada hantaran berlainan, kementerian tersebut menyatakan amaran bahaya varian Covid-19 yang kini menjangkiti Indonesia, digelar varian B.1.1.7, B.1.351 dan B.1.617.1.

“Ketiga varian ini diperkirakan lebih cepat menular dibandingkan varian sebelumnya. Hal ini terlihat dari beberapa negara yang telah mengesahkan kenaikan kes seiring ditemukannya varian baru ini di negaranya,” jelasnya.

Ciapan itu turut memaparkan poster jurucakap menteri kesihatan negara itu, Dr Siti Nadi Tarmizi yang menyatakan “dua faktor penyebab lonjakan kes di Eropah dan India adalah kerana adanya mobiliti (pergerakan) tinggi dan varian baru.”

Beliau turut menggesa rakyat Indonesia supaya kekal di rumah sewaktu Aidilfitri dan tidak pulang ke kampung.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat tiga kes Covid-19 yang mempunyai varian B.1.1.7 dikesan semalam.

Varian itu dikenalpasti di United Kingdom (UK). Sementara itu, 48 kes varian B.1.351 turut dikesan. Ia pertama kali dikenalpasti di Afrika Selatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here