KKM perkenal kit saringan Covid-19 guna sampel air liur

0
3

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan ujian saringan Covid-19 secara kendiri menggunakan sampel air liur dalam tempoh terdekat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua syarikat sudah dikenal pasti untuk mengeluarkan kit saringan berkenaan.

Beliau berkata, kit ujian itu masih dalam peringkat pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Alatan Perubatan (MDA).

Pada masa sama, katanya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan ujian terhadap dua kit saringan yang dikeluarkan dua syarikat tersebut.

“Sebaik didaftarkan, orang ramai boleh mendapatkan kit menggunakan sampel air liur itu di farmasi dengan konsepnya sama seperti kit ujian kehamilan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, petugas kesihatan juga akan dilatih menggunakan kit saringan itu bagi memastikan kaedah pengambilan sampel air liur dilakukan dengan tepat.

Sebelum ini, KKM menjalankan penilaian lapangan bagi penggunaan kit saringan menggunakan sampel air liur itu serta tujuh hospital telah dipilih untuk penilaian lapangan bagi kaedah tersebut.

Buat masa ini, KKM masih menggunakan kaedah persampelan melalui hidung dan mulut bagi mengesan kehadiran virus Covid-19 dalam badan pesakit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here