Umno tak bodoh desak PRU-15 ketika kes Covid-19 meningkat – Tajuddin

0
2
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

UMNO tidak terdesak untuk memaksa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU5) diadakan terutama dalam suasana negara berdepan kes Covid-19 tinggi termasuk pada Ogos nanti.

Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata kepentingan rakyat menjadi keutamaan Umno dan bukan hanya mengejar jawatan semata-mata hingga mengabaikan kesihatan umum.

“Kalau masih ada kes Covid-19 tinggi sewaktu Ogos, tidak mungkin kita cadangkan diadakan PRU15. Pemimpin Umno bukan tiada otak. Kami bukan hendak kejar atau kemaruk jawatan sahaja.

“Kita ambil maklum mengenai situasi Covid-19. Cuma harap Ogos nanti dibubarkan Parlimen andai keadaan mengizinkan. Tetapi kalau kes tinggi, mencanak hingga ribu-ribu, kita akan pertimbangkan semula waktu sesuai untuk diadakan PRU.

“Umno akan lakukannya apabila tiba masanya. Macam mana hendak lalu jambatan kalau kita belum sampai. Kita kena akur pada situasi Covid-19,” katanya seperti dilapor Bernama.

Januari lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP), jika PRU diadakan dalam waktu terdekat.

Malah, parti itu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) Mac lalu menuntut supaya PRU15 mesti diadakan selepas tempoh darurat tamat, sama ada pada 1 Ogos atau tarikh sebelumnya jika darurat ditamatkan lebih awal.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, Umno bukan parti yang memberi fokus semata-mata kepada politik sahaja termasuk ketika negara sedang berdepan Covid-19 ini, sebaliknya sedaya upaya menjaga kebajikan rakyat berdepan pandemik tersebut.

“Kalau kita asyik berpolitik, tidak mungkin infrastruktur jalan, kemudahan orang ramai dapat disediakan. Hidup perlu diteruskan walaupun sewaktu pandemik melalui peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here