SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) melahirkan kebimbangan dengan satu video viral seorang kanak-kanak menghisap rokok elektronik atau vape, dipercayai diberikan oleh bapanya sendiri.
Pesuruhjaya Kanak-kanak, SUHAKAM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata pihaknya berterima kasih kerana polis bertindak pantas ke atas laporan berhubung isu tersebut dan telah menahan suspek.
“Umum mengetahui fakta menghisap vape mendedahkan individu tersebut kepada nikotin serta logam berat lain, formaldehid (atau formalin) dan produk sampingan kimia disebabkan proses pemanasan, yang memudaratkan kesihatan seseorang.
“Cecair nikotin jika tertumpah dan diserap melalui kulit, boleh menyebabkan keracunan dalam beberapa minit.
“Nikotin dianggap sebagai bahan beracun di bawah Akta Racun 1952 (Akta 366),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Noor Aziah berkata ibu bapa hendaklah diberi kesedaran bahawa mendedahkan anak kepada vape, walaupun cuma sejumlah kecil nikotin cecair yang digunakan untuk mengisi semula rokok elektronik, boleh menyebabkan kematian anak.
Pesuruhjaya Kanak-kanak itu menegaskan bahawa perbuatan menghisap vape atau memberi kanak-kanak menghisap vape adalah kesalahan di bawah Akta 366.
“Menggalak atau membekalkan kanak-kanak dengan vape, adalah satu pencabulan kepada Seksyen 17 Akta 366, atau boleh juga dianggap satu bentuk penderaan di mana si bapa boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 364).
“Pesuruhjaya Kanak-Kanak menggesa kerajaan untuk mengharamkan atau melarang menghisap vape kerana ia berbahaya kepada perokok serta orang ramai, apatah lagi kepada kanak-kanak yang berada dalam ruang yang sama.
“Polis mesti mengambil tindakan ke atas sesiapa yang secara sengaja memberi vape kepada kanak-kanak,” katanya.
Katanya lagi mana-mana kanak-kanak yang berisiko terdedah kepada vape sebegini mesti diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dipelihara atau dijaga, sehingga ibu bapa mereka menjalani pemulihan. – Malaysiapost

