TIADA PEMERIKSAAN kasut dari rumah ke rumah di Melaka, sebaliknya menggunakan pendekatan memantau kemasukan kenderaan di pintu sempadan negeri dan plaza tol.
Kaedah memantau kemasukan kenderaan akan digunakan Polis Melaka bagi mengesan individu yang merentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut Aidilfitri.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata pihaknya akan memastikan kemasukan kenderaan tidak melebihi 70,000 setiap hari.
Beliau berkata, sekiranya berlaku peningkatan jumlah kenderaan yang luar biasa, pasukan pemantauan akan mengesan mereka yang dipercayai melakukan aktiviti merentas negeri tanpa kebenaran.
“Kita mengambil serius aktiviti rentas negeri tanpa kelulusan termasuk menggunakan laluan tikus untuk masuk dan keluar dari negeri ini sempena hari raya.
“Jangan ambil risiko, sekiranya berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kita tidak akan berkompromi untuk kepentingan awam,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Majid berkata, tindakan itu bertujuan mengelakkan peningkatan kes Covid-19 dan pemantauan maksimum akan dilakukan termasuk di laluan tikus sempadan negeri di daerah Alor Gajah dan Jasin.
Beliau berkata, pihaknya menggalakkan setiap rumah menyediakan kod QR MySejahtera atau buku catatan pengunjung dan cecair pembasmi kuman sepanjang tempoh ziarah Aidilfitri bermula hari raya pertama. – Malaysiapost

