Ibu ditahan Imigresen, adik gigih jaga kakak OKU

0
2

PENDAKWAH terkenal Ustaz Ebit Lew tersentuh dengan kasih sayang ditunjukkan seorang penuntut Politeknik di Kelantan yang menjaga kakaknya seorang Orang Kurang Upaya (OKU).

Dugaan dialami remaja itu sangat besar kerana bersendirian menjaga kakaknya selepas bapa mereka meninggal dunia dan terbaharu ibunya warga Thailand ditahan kerana pasport tamat tempoh.

Menurut Ebit, dia sebak dan terkesan apabila melihat kuatnya semangat adik itu menjaga kakak yang OKU ‘serebral palsy’ berumur 29 tahun.

“Hari-hari mandikan dan suap kakaknya makan. Bila saya tanya adik ok. Dia menangis kata gembira dapat jaga kakak.

“Saya tolong bayar sewa rumah sembilan bulan tertunggak dan bayarkan terus untuk tiga bulan akan datang dan beri adik ni sedikit duit belanja,” kongsinya di Facebook hari ini.

Menurutnya, remaja berkenaan juga terpaksa meninggalkan kakaknya sekejap setiap hari kerana perlu jalani praktikal.

“Tawakal katanya. Ramadan ini dua kali jumpa ular. Ada sekali balik ular dekat dengan kakaknya.

“Ayahnya orang Kelantan meninggal dunia. Mak asal orang Thailand. Baru ni ditahan kerana pasport dah mati. Biasa boleh pergi cop pasport. Tapi disebabkan covid tak dapat nak cop pasport disempadan.

“Syukur tadi dapat bercakap dengan Pegawai Imigresen yang sangat baik. Rupanya jika kita berkahwin penduduk tempatan kena mohon pas khas. Tak boleh buat begitu. Alhamdulillah atas budi bicara mengenangkan keadaan anak yang OKU tiada siapa jaga Imigresen Kelantan membantu proses itu,” katanya.

Ebit berkata, remaja berkenaan menangis sebaik diberitahu ibunya akan pulang dan kakaknya juga dilihat gembira mendengar perkara itu.

“Kakaknya ni bila menjerit atau tak selesa maknya akan cakap dan pegang tangannya. Dia tak nampak tapi boleh kenal suara dan sentuhan maknya. Dah dua bulan tak rasa sentuhan maknya.

“Syukur saya dimaklumkan hari-hari jiran-jiran hantar makanan dan bantu beli pampers semua. Begitu juga jabatan agama dan politeknik sendiri banyak membantu. Terima kasih semua,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/07/ebit-lew-santun-gelandangan-buka-puasa-di-kaki-lima/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here