LEBIH sebulan tidak mengadakan sidang media mengenai perkembangan terkini situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dijangka akan tampil petang ini.
Sebelum ini, pada setiap hari beliau akan berkongsi kenyataan akhbar di laman Facebooknya mengenai perkembangan terkini Covid-19, namun pada jam 5.30 petang ini beliau dijadual mengadakan sidang media.
Jemputan media mengenai perkara itu juga sudah diedarkan oleh Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sidang akhbar berkenaan juga akan dipancarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan.
Kali terakhir Dr Noor Hisham muncul di kaca televisyen adalah pada 4 Mac lalu.
Situasi Covid-19 dalam negara dilaporkan kini berada di tahap membimbangkan dengan peningkatan kes harian sebanyak 4,498 kes semalam. – Malaysiapost

