AkuPN bantu belia terokai pasaran kerja, keusahawanan

0
2

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan Platform Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN) melalui aplikasi ‘Cari Kerja’, ‘Skil’ dan ‘Sapot’ bagi membantu belia negara menerokai pasaran kerja serta bidang keusahawanan.

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin, berkata pihaknya terpanggil untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara yang menjembatani hubungan rakyat dan kerajaan.

Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan selepas menyedari lebih 700,000 kekosongan jawatan menerusi statistik PERKESO pada 6 Mei lalu.

“Pelbagai program latihan kemahiran termasuk upskilling dan reskilling disediakan oleh Kerajaan melalui Belanjawan 2021 dan Pakej Ransangan Ekonomi, serta potensi usahawan tempatan yang harus digembeleng inovasi dan produktiviti mereka, ” katanya dalalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, aplikasi ‘Cari Kerja’ menjadi pemudah cara hubungan di antara industri dan lapangan pekerjaan dengan rakyat yang mendambakan pekerjaan.

Katanya, usaha ini dimudahcara melalui ikhtiar penciptaan resume dan disusuli dengan kerjasama bersama MYFutureJobs yang menyediakan ratusan ribu penempatan pekerjaan.

“Sementara, ’Skil’ adalah usaha memudah cara hubungan di antara pelbagai agensi Kerajaan dan swasta yang menyediakan ruang pemberdayaan dengan setiap warganegara yang berpotensi digilap kemahiran mereka.

“Pemuda PN akan terus berganding bahu dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang komited untuk bersama memperkasa potensi anak bangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, aplikasi ‘Sapot’ pula adalah usaha memudah cara usahawan baru dan peniaga kecil yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Katanya, ia termasuk bagi mendapatkan bantuan kewangan sama ada daripada kerajaan mahupun pembangunan komuniti ekonomi yang diyakini akan saling membantu di antara satu sama lain.

“Sesungguhnya, ‘Sapot’ adalah identiti dan jati diri rakyat Malaysia yang teguh dengan semangat kekitaan untuk membantu setiap warga yang memerlukan,” katanya.

Justeru, Pemuda PN menyeru seluruh rakyat khususnya anak muda Malaysia untuk bersama menyertai dan mendaftarkan diri sebagai komuniti Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN).

“Yakin lah bahawa setiap di antara kita mempunyai peranan dan tanggungjawab yang signifikan demi masa depan kita semua.

“Ayuh ! Segera layari laman https://akupn.my/ demi kemajuan dan jati diri bangsa Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here