SISTEM amaran awal melalui ‘Hotspots Identification for Dynamic Engagement’ (HIDE) termasuk perkongsian senarai lokasi dan premis yang berpontensi menjadi kawasan titik panas Covid-19 dijangka dapat membendung penularan wabak berkenaan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata perkongsian senarai lokasi itu adalah bertujuan membantu masyarakat merancang perjalanan dan keputusan yang wajar sebelum ke sesebuah lokasi atau premis agar dapat menghindari risiko jangkitan Covid-19.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, ia juga boleh dijadikan panduan kepada pemilik atau pengusaha premis untuk mengambil langkah proaktif bagi mencegah dan melindungi premis daripada menjadi pusat penularan jangkitan wabak itu.
“Analisis HIDE di bawah kendalian Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat ramalan ke atas premis-premis yang berpotensi menjadi lokasi titik panas penularan Covid-19 dalam tempoh tujuh hari berdasarkan pemantauan dilakukan.
“Penyenaraian lokasi serta premis ini amat penting dan wajar dilakukan memandangkan bilangan kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan setiap hari berada pada tahap yang sangat membimbangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairy berkata, dalam tempoh tujuh hari lalu, sebanyak 23,712 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan manakala kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) meningkat sebanyak 21 peratus dalam tempoh tujuh hari lalu berbanding minggu sebelum ini.
Menurutnya, penyenaraian lokasi dan premis ini membolehkan intervensi awalan dan tindakan wajar diambil oleh pihak berkuasa, pemilik premis serta orang ramai bagi mengelakkan berlakunya kluster baharu.
“Antara intervensi awal yang dilakukan ialah menghantar notifikasi kontak kasual menerusi aplikasi MySejahtera, kawalan pergerakan pengunjung dengan lebih ketat dan menghalang kemasukan pengunjung dengan status berisiko tinggi seperti yang terpapar di aplikasi MySejahtera.
“Selain itu, ia juga mewujudkan sistem gelembung tempat kerja dan susunan bekerja dari rumah serta melakukan ujian saringan secara massa ke atas pekerja,” katanya.
Beliau berkata, juga menasihatkan orang ramai menangguhkan kunjungan ke lokasi atau premis yang disenaraikan.
“Sekiranya masih perlu mengunjungi lokasi atau premis tersebut, patuhi garis panduan ditetapkan serta sentiasa mengamalkan budaya normal baharu, ” katanya. – Malaysiapost

