2 beranak maut, 3 ahli keluarga cedera kemalangan.

0
2

SEORANG tentera dan anak lelakinya maut, manakala tiga lagi ahli keluarganya termasuk bayi berusia enam hari cedera selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 137.5 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 berhampiran Maran, Pahang semalam.

Mangsa yang maut dalam kejadian 1.50 tengah hari itu ialah pemandu kereta, Mohamad Kausa Mustafa, 36, dan anaknya, Muhammad Ridwan Mohamad Kausa, 5.

Isterinya, Ainul Yaqin Mokhtar, 31, dan dua lagi anaknya iaitu Nursyuhada, 8, dan Nur Sakinah yang baru berusia enam hari dilaporkan cedera dalam kemalangan itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Temerloh ke Kuantan.

“Berdasarkan siasatan awal, pemandu Toyota Hilux mendakwa kereta jenis Perodua Viva dinaiki keluarga terbabit berhenti secara mengejut menyebabkannya tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta menyebabkan kenderaan itu terbabas ke longkang sebelah kiri jalan sebelum masuk semula ke bahu jalan sebelah kiri.

“Akibat kejadian pemandu dan seorang penumpang kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga orang penumpang kereta mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurutnya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera mendapat rawatan di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here