Kebolehjangkitan Covid-19 semakin membimbangkan

0
2

KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh Malaysia adalah 1.10 dengan Terengganu mencatat nilai tertinggi pada 1.35.

Berdasarkan data dan infografik dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook hari ini, kadar itu meningkat daripada hari sebelumnya yang berada di paras 1.07.

Keadaan ini susulan peningkatan kes harian Covid-19 secara mendadak yang dicatatkan semalam iaitu 4,498 kes.

Peningkatan kes baharu di beberapa negeri juga menyaksikan sembilan negeri mencatat Ro melebihi purata kebangsaan antara 1.17 hingga 1.35 semalam.

Terengganu mencatat Ro tertinggi dengan 1.35 disusuli Kedah (1.28), Perak (1.25), Pulau Pinang (1.23), Selangor (1.18), Negeri Sembilan (1.18), Pahang (1.18), Melaka (1.17) dan Johor (1.17).

Selain itu, Kuala Lumpur mencatat Ro 1.10, manakala dua negeri mencatat Ro terendah semalam iaitu Kelantan (0.99) dan Sabah (0.94).

Data dikongsi Dr Noor Hisham itu turut menunjukkan trend peningkatan kes kekal berada pada tahap membimbangkan, apabila melebihi unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang meramalkan kes harian berisiko mencecah 5,000 awal Jun ini, jika kadar kebolehjangkitan meningkat kepada 1.2.

Kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan sejak awal bulan lalu hingga mencecah lebih 2,000 pada pertengahan April, dan terus melonjak kepada lebih 3,000 kes pada 28 April dan kini pada Mei mencatatkan lebih 4,500 kes harian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here