Beri ruang Anwar jadi Perdana Menteri – Kit Siang

0
1

MALAYSIA kini berdepan hampir 5,000 kes Covid-19 sehari menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan dan keadaan dijangka lebih teruk selepas perayaan itu jika tindakan segera tidak diambil.

Pemimpin Veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata susulan keadaan itu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus memikul tanggungjawab atas kegagalan mengatasi wabak berkenaan dengan meletakkan jawatan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, ini adalah masanya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi ruang untuk menjadi Perdana Menteri ke sembilan bagi melawan Covid-19, menyelamatkan negara daripada menjadi ‘mini-India’ dalam pandemik ini, dan juga menjadikan negara kembali hebat bertaraf dunia

“Sudah tiba masanya untuk Perdana Menteri dan kerajaan paling teruk dalam 63 tahun sejarah negara untuk meletakkan jawatan dan memberi ruang kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ke sembilan.

“Jelas sekali bahawa kerajaan Muhyiddin ini telah gagal untuk mengawal penularan wabak Covid-19, walaupun selepas menggunakan cara yang tidak demokratik dan tidak sah, yang bersama dengan layanan berbeza dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kepada menteri dan pemimpin kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya di seluruh dunia, negara-negara yang terkesan teruk sebelum ini kini dilihat bertambah baik dalam usaha melawan Covid-19, namun rekod Malaysia dalam melawan Covid-19 adalah satu perkara yang mengecewakan.

“Walaupun kita tidak berhadapan dengan kerosakan teruk seperti di Amerika dan negara-negara Eropah, kita masih lagi jauh di belakang kisah-kisah kejayaan mengawal wabak Covid-19 di negara-negara Asia Timur, Asean, dan kawasan serantau Pasifik.

“Sekarang, semasa wabak ini sedang beransur reda di Amerika dan Eropah, kita pula menyertai negara-negara yang didahului oleh India di mana wabak ini sedang merebak teruk,” katanya.

Kit Siang berkata, jika dibandingkan Indonesia dan Filipina yang mempunyai kes terkumpul yang lebih tinggi berbanding negara ini, kedua-duanya kini menyaksikan kejayaan yang lebih baik dalam perang melawan wabak Covid-19.

“Demi kepentingan negara kita, dan juga untuk memenuhi aspirasi menjadikan Malaysia negara hebat yang bertaraf dunia, adakah Muhyiddin akan meletakkan jawatan untuk memberikan jalan kepada Anwar Ibrahim?,” soalnya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/05/07/kes-kritikal-covid-19-ke-icu-meningkat/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here