PKP 3.0 tidak mengubah cara kerajaan lawan Covid-19 – Syed Saddiq

0
3

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilihat tidak membawa perubahan kepada cara kerajaan bertindak melawan Covid-19.

Beliau berkata, sehingga hari ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengumumkan tiga siri PKP termasuk yang paling terbaharu pada beberapa hari lepas.

“Tapi sehingga hari ini saya lihat tidak ada perubahan pun kepada cara kerajaan bertindak melawan Covid-19.

“Contohnya, hari ini (semalam) sahaja dicatatkan ada 10 Kluster Tempat Kerja yang baru. Ini bukan jumlah kluster Tempat Kerja yang kecil,” katanya dalam hantaran Facebook.

Malah, Syed Saddiq mempersoalkan apakah tindakan kerajaan pada waktu PKP3.0 untuk membendung penularan Kluster Tempat Kerja berkenaan.

“Sehingga hari ini, tidak ada arahan untuk Bekerja Dari Rumah. Atau sebarang rancangan untuk memastikan kluster tempat kerja tidak lagi bertambah dari hari ke hari.

“Hari ini (semalam) ada 22 kematian baharu. Ini bukan isu politik atau isu siapa layak memerintah. Nyawa rakyat sekarang harus dilindungi. Malangnya tidak ada apa-apa rancangan yang dibentangkan,” katanya.

Syed Saddiq berkata, malah sehingga kini tidak ada prosedur operasi standard (SOP) terbaru di tempat kerja diumumkan kerajaan.

“Kerajaan tidak boleh hanya mengharapkan majikan untuk mengarahkan pekerja bekerja dari rumah.

“Perlu ada arahan rasmi dari kerajaan. Bangunlah dari tidur dan lindungilah rakyat segera, wahai kerajaan,” katanya.

Semalam, Malaysiapost melaporkan, penularan wabak Covid-19 di Malaysia semakin membimbangkan dan kini jumlah jangkitan harian sudah melepasi 4,000 kes.

Secara keseluruhan jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan setakat jam 12 tengah semalam adalah 4,498 kes dengan jumlah kumulatif kes setakat ini adalah 432,425 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor masih merekodkan kes harian tertinggi iaitu 1,424 kes dan 140,270 kes keseluruhan dan diikuti Sarawak – 750 kes (34,227) dan Kuala Lumpur – 436 kes (46,003). – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/07/kes-baru-harian-covid-19-lepasi-angka-4000/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here