Aidilfitri hari kemenangan, membesarkan Allah

0
2
agama masjid

UMAT Islam sewajarnya bersyukur kerana dikurniakan usia dan kesihatan berupaya membuat persiapan bagi menyambut hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri.

Dalam Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Perak bertajuk ‘Persiapan Menyambut Hari Kemenangan’ menjelaskan kita sedang berada di hujung mihrab Ramadan untuk melangkah ke serambi Syawal.

Semoga kita dianugerahkan kebaikan Ramadan yang kini beransur pergi, serta kemenangan Syawal yang hakiki, hasil takwa dan mujahadah yang sudah kita lalui bersama.

Pada hari-hari terakhir Ramadan ini, sewajarnya kita bersyukur kerana dikurniakan usia dan kesihatan berupaya melakukan ibadah puasa yang turut dilengkapi dengan ibadah-ibadah yang sangat dituntut untuk dilakukan sepanjang Ramadan, bersolat jemaah, bersolat tarawih, bertadarus, berqiamullail dan melipat ganda sedekah.

Contohilah sunnah junjungan besar Nabi Muhammad SAW apabila memasuki sepuluh hari terakhir Ramadan. Antara sunnah Rasulullah SAW pada hujung Ramadan ialah amalan beriktikaf dan memburu Lailatulqadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Sayidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa:

Sesungguhnya Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan sehinggalah baginda wafat dan kembali bertemu Allah Azzawajalla … (Riwayat Muslim 1172) Berakhirnya Ramadan, bukan bermakna terhenti pula segala amalan ibadah. Di sebaliknya kita hendaklah berazam untuk terus meningkatkan ibadah meskipun Ramadan sudah berlalu.
Sabda Nabi SAW:

Sebaik-baik amalan yang disukai Allah ialah apa yang dilakukan secara berterusan dan istiqamah, walaupun sedikit. (Riwayat Muslim 782) Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba Allah yang tetap istiqamah beribadah sampai datangnya ajal, selaras dengan firman Nya dalam surah Al Hijr ayat 99:

Hari Raya Aidilfitri dijangkakan jatuh pada hari Khamis 13 Mei. Hari Raya Aidilfitri ialah hari kemenangan membesarkan Allah SWT.

Hari Raya ialah hari kemenangan kerana berjaya melepasi tarbiah Ramadan dan menjulang piala takwa. Takwa merupakan matlamat akhir ibadah berpuasa. Allah SWT menjelaskan beberapa ciri orang bertakwa menerusi ayat 134 surah Ali Imran:

Maksudnya: (Orang yang bertakwa itu ialah) orang-orang yang menafkahkan hartanya pada ذٰرٰ saat senang dan susah, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Ayat ini memaparkan tiga sifat orang bertakwa. Pertama, suka bersedekah baik ketika senang ataupun susah; kedua, mampu menahan amarah; dan ketiga, memaafkan kesalahan orang lain. Insan bertakwa memiliki jiwa yang bersimpati sesama insan, memiliki daya memahami emosi sesama insan, serta rela berkorban untuk insan lain, bersedia memberi tidak hanya kepada orang yang dikenali atau dicintai, tetapi bersedia memberi kepada orang yang memerlukan.

Dalam hubungan Ramadan dan Aidilfitri, sifat takwa bersedekah ini terlihat melalui syariat menunaikan zakat fitrah, yang menunjukkan sikap mengambil peduli terhadap golongan yang lemah lagi memerlukan.

Ibadah puasa menjadi sempurna dengan menunaikan zakat fitrah. Insan bertakwa juga bersifat memaafkan kesalahan insan lain. Sepanjang Ramadan, umat Islam sangat dianjurkan memohon ampun kepada Allah SWT dengan membaca doa.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, yang suka kepada orang yang meminta ampun, maka ampunilah daku.”

Perkataan ampun diulang tiga kali dalam doa tersebut, menunjukkan bahawa manusia sangat mendambakan keampunan daripada Allah SWT.

Memohon ampun membuktikan kerendahan diri seorang hamba yang banyak melakukan kesalahan dan kekhilafan. Doa ini turut mendidik kita untuk turut mengamalkan sikap pemaaf.

Amatlah bijaksana para ulama di tanah air kita, yang memperkenalkan budaya bersilaturahim dan saling memaafkan sempena sambutan Hari Raya. Setelah kita memohon ampun daripada Allah SWT, kita pula dianjurkan mengamalkan sifat memaafkan.

Mengakhiri khutbah pertama ini, marilah kita memanjatkan syukur, kerana Allah SWT memberikan kesempatan kepada kita untuk menempuhi hari-hari terakhir Ramadan.

Semoga kita diberi kekuatan untuk memanfaatkannya sebaik mungkin dan mengisinya dengan pelbagai amalan yang mengukuhkan ketaatan kita kepada Ilahi.

Dunia masih bergelut menghadapi wabak virus Covid-19. Negara masih belum berada dalam keadaan selesa. Bilangan kes baharu terus meningkat.

Lebih membimbangkan bilangan kes meningkat dengan angka yang besar. Hospital menghadapi keadaan semakin sesak untuk menyediakan katil, peralatan dan kakitangan dalam menghadapi gelombang kedua jangkitan yang semakin ganas merebak.

Kakitangan barisan hadapan, terutamanya para doktor, jururawat dan kakitangan pembantu di hospital menghadapi tekanan dan keletihan yang tidak dapat kita bayangkan, berkorban masa dan tenaga, serta menghadapi risiko tinggi jangkitan.

Ada di antara mereka yang terpaksa memisahkan diri dengan ahli keluarga sendiri apabila sampai ke rumah untuk mengelakkan jangkitan.

Mimbar menyeru para jemaah agar kukuh berpegang kepada aqidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik kita dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutamanya solat fardu berjemaah. Mimbar juga mengingatkan para jemaah yang belum menunaikan zakat fitrah, agar segera menunaikannya jika berkemampuan.

Zakat fitrah ialah pelengkap puasa Ramadan. Jangan bertangguh hingga ke saat akhir hingga kita terlupa menunaikannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here