PERINTAH kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di 16 lokaliti di Sungai Ruan dan tujuh lokaliti di Sempalit, Raub, Pahang bermula Sabtu ini sehingga 21 Mei.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini susulan peningkatan ketara jangkitan Covid-19 yang dikesan KKM dalam tempoh dua minggu, dengan 65 kes positif direkodkan.
Katanya, lokaliti terlibat di Sungai Duan ialah Taman Dahlia, Taman KSM Sungai Ruan, Taman Bunga Raya, Taman Sungai Ruan, Taman Cempaka, Taman Bunga Matahari, Taman Koperasi Mewah, Taman Melewar, Taman Mawar, Taman Mawar Impian, Taman Bunga Tanjung, Taman Bunga Angsana, Taman Melor, Taman Orkid, Rumah Murah Sungai Ruan dan Kg. Baru Sungai Ruan.
Tujuh lokaliti di Sempalit pula ialah Kg. Baru Sempalit, Taman Sempalit Indah, Taman Sempalit Baru, Taman Sempalit Aman, Taman Sempalit Jaya, Taman Emas dan Taman Emas Baru.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di 16 lokaliti ini sehingga 21 Mei ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan pelaksanaan PKPD di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor bermula 8 Mei hingga 21 Mei ini.
“PKPD dilaksanakan dikawasan terbabit kerana berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh satu minggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, penamatan PKPD di Taman Seri Desa, Kuala Krau, Temerloh, Pahang ditamatkan lebih awal iaitu esok.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di kawasan terbabit yang dijadualkan tamat pada 13 Mei 2021.
“Namun, dalam tempoh itu, KKM telah melakukan 461 ujian saringan, 12 daripadanya disahkan positif Covid-19.
“KKM juga mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala kes terakhir telah direkodkan pada 30 April 2021 iaitu satu kes.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Taman Seri Desa, Kuala Krau pada 7 Mei ini, lebih awal daripada yang dijadualkan,” katanya. -Malaysiapost

