Kertas siasatan Neelofa rentas negeri beli karpet hampir selesai

0
2

POLIS mengesahkan kertas siasatan terhadap selebriti sensasi, Neelofa dan suaminya, PU Riz, berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kali kedua, sudah berada di peringkat akhir siasatan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Mat Yusop berkata, kertas siasatan terhadap pasangan itu yang didakwa melanggar SOP Covid-19 dengan merentas negeri membeli karpet di Nilai 3, Negeri Sembilan sudah dirujuk kepada pihak pendakwa.

“Siasatan sudah di peringkat akhir dan telah pun dirujuk kepada pendakwa raya, serta dikembalikan semula bagi memperkemaskan lagi siasatan.

“Kita menjangkakan dalam masa terdekat ini akan dimaklumkan, kalau ada keputusan nanti kita akan beritahu kepada pihak media,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, hari ini.

Terdahulu, Noor Neelofa Mohd Nor dan Muhammad Haris Mohd Ismail telah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, pada jam 2.30 petang, Selasa lalu.

Dilaporkan, keterangan pasangan itu diambil selama lebih empat jam dan selesai kira-kira jam 6.45 petang.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman dilapor berkata, keterangan tersebut berkaitan penularan gambar dan video dalam media sosial berkaitan pasangan tersebut yang berada di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3, Ahad lalu. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/03/rentas-negeri-beli-karpet-polis-akan-panggil-neelofa-suami/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here