8 kali meringkuk dalam penjara, 5 kali raya di sebalik tirai besi

0
2

Najamuddin Mohd Nor

“INSYA-ALLAH Hari Raya ini saya akan telefon ayah, saya akan beritahu yang saya sudah berubah,” kata Ahmad (bukan nama sebenar).

Pemuda berusia 28 tahun berasal dari Kamunting, Perak itu tekad untuk melupakan kisah hitam yang menyebabkan lapan kali dia terpaksa meringkuk dalam penjara.

Menurutnya, dalam tempoh itu dia telah merasai lima kali pengalaman pahit berpuasa dan merayakan Aidilfitri di sebalik tirai besi.

“Pengalaman yang sangat sedih. Tak sama rasanya. Bila kita dalam penjara, air mata pasti mengalir ketika berbuka puasa seorang diri.

“Masa tu memang teringat kenangan berbuka puasa bersama ayah, ibu dan adik beradik di rumah.

“Kalau boleh saya tak mahu ingat pengalaman beraya di penjara. Sunyi sekali. Nak menangis pun dah tak ada air mata, memang sedih,” katanya kepada Malaysiapost ketika ditemui di Ghulam Recovery Centre di Sepang baru-baru ini.

Ahmad juga menambah, dosa dan kesilapan silamnya tidak mampu menebus kekecewaan keluarganya, terutama sekali kepada arwah ibunya yang meninggal dua tahun lalu.

“Saya berdosa kepada diri dan keluarga, terutama arwah ibu. Saya tidak dapat membuktikan kepadanya bahawa saya telah bertekad berubah menjadi baik.

“Ibu meninggal ketika saya dalam penjara, saya tak dapat menatap kali terakhir wajahnya. Namun saya tahu ibu masih sayang pada anaknya ini kerana tidak pernah terlepas datang ziarah saya masa menyambut Hari Raya di penjara.

“Sedih memang sedih kalau mengenangnya. Tak dapat peluk cium ibu walaupun ibu di depan kita, hanya suara boleh dengar. Kenangan beraya di penjara memang menyedihkan,” katanya.

Ahmad meringkuk lapan kali dalam penjara kerana terlibat dengan dadah jenis syabu selain terbabit jenayah curi motorsikal.

Kini, Ahmad berazam untuk berubah dan membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila dia sendiri menawarkan diri menyertai program i-Kembali di Ghulam Recovery Centre.

“Saya fikir sampai bila saya nak hidup macam dulu, keluar masuk penjara macam rumah kedua saya.

“Jadi apabila dapat peluang, saya sertai program ini sebulan sebelum dibebaskan sepenuhnya dari penjara. Alhamdulillah baru sembilan hari saya dah dapat kerja di sebuah kilang.

“Semuanya diatur oleh program ini. Syukur sangat. Inilah peluang saya untuk terus berubah jadi orang yang berguna,” katanya.

Ditanya adakah keluarganya tahu dia berada di sini, Ahmad menjelaskan dia masih belum bersedia untuk menceritakan perubahan dirinya kepada keluarganya.

“Insya-Allah raya ni saya akan beritahu terutama pada ayah. Harap ayah dapat menerima saya kembali walaupun saya rasa ayah dan adik beradik lain sudah berputus asa dengan saya.

“Cumanya raya ni rasa syahdu sangat bila teringat pada arwah ibu. Kerinduan yang teramat sangat, terkilan ibu tak dapat lihat anaknya ini telah bertaubat dan berubah menjadi lebih baik daripada dulu,” katanya dalam linangan air mata. – Malaysiapost

Gambar Hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here