Pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan mendapat hak penjagaan anak perempuan selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini memutuskannya selepas meneliti permohonannya tiga tahun lalu.
Hakim Syarie Salehan Md Yatim, memutuskan Serina Redzuawan, 37, berhak mendapatkan hak jagaan Isabella Saffiya O’luanaigh yang berusia sembilan tahun.
Bagaimanapun mahkamah memutuskan seorang lagi anak lelaki Serina, Tristan Tareef O’luanaigh,10, dijaga bekas suami, Gavin Edward O’luanaigh, 43, atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.
Dalam prosiding itu, Serina hadir diwakili Peguam Syarie Datuk Seri Amli Embong manakala Gavin diwakili Peguam Syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Sementara itu, Serina bersyukur dengan keputusan mahkamah namun agak sedih apabila anak-anaknya terpaksa berpisah.
“Saya bersyukur kerana mahkamah telah memberi keputusan terbaik apabila saya mendapat hak jagaan anak perempuan manakala bekas suami dapat hak jagaan anak lelaki.
“Hari ini, mahkamah buat keputusan ini mungkin tidak mahu berlaku pergaduhan lagi. Saya juga bersyukur perintah penjagaan kedua-dua anak yang dijaga Gavin sebelum ini dibatalkan,” katanya selepas selesai prosiding seperti dilaporkan Sinar Harian.
Sebelum ini, Serina memfailkan permohonan untuk mengubah perintah hak jagaan kekal pada 26 Februari 2018 atas alasan antaranya Gavin yang dinamakan sebagai pihak responden tidak mengamalkan hidup secara Islam.
Oleh itu, Serina khuatiri anak-anaknya akan dibawa keluar dari Malaysia memandangkan keluarga bekas suami berada di London.
Pada 27 Julai 2017, Serina memberi hak penjagaan kekal dua anaknya itu kepada bekas suaminya melalui penghakiman persetujuan berdasarkan beberapa syarat dan terma lawatan dipersetujui bersama.
Serina dan Gavin berkahwin pada 1 Januari 2010 namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Namun, pada Julai 2018, mahkamah sama menolak permohonan Serina untuk mendapatkan hak jagaan sementara dua anaknya itu kerana telah ada hak penjagaan kekal yang dipersetujui bersama sebelum ini.
Mahkamah dalam keputusannya selain itu turut menegah Serina dan Gavin daripada membawa anak-anak mereka ke luar negara walaupun Serina memohon mahkamah tidak membenarkan bekas suami sahaja membawa anak ke luar negara.
Perintah itu terpakai sehingga kes induk permohonan Serina untuk mengubah perintah berkenaan. – MalaysiaPost

