Kes boleh cecah 10,000 sehari jika abai SOP

0
2

KES jangkitan Covid-19 boleh mencecah 10,000 sehari selepas Aidilfitri jika rakyat alpa dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata perkara tersebut dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menganggarkan kes boleh melonjak seperti di India, lapor Berita Harian.

“Situasi ini boleh berlaku jika tidak ada intervensi dan SOP tidak diikuti lagi oleh rakyat.

“Jika sampai 10,000 kes sehari, kita mungkin jadi seperti India. Kita tidak mahu melihat rakyat mati bergelimpangan dan sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri berkata walaupun menyedari rakyat marah, penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri dan kawasan adalah tindakan terbaik bagi melindungi nyawa rakyat.

“Kita (kerajaan) tidak mahu dianggap tidak bertanggungjawab jika perkara buruk berlaku kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelaksanaan PKP di Kuala Lumpur serta enam daerah di Selangor.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tiada halangan berhubung keputusan kerajaan Selangor menutup bazar Ramadan di enam daerah negeri itu.

Kata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan tidak akan menutup semua premis perniagaan serentak, sebaliknya berbuat demikian jika mengesan penularan kes Covid-19.

Enam daerah di Selangor iaitu Petaling, Gombak, Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang dan Klang dikenakan semula PKP mulai hari ini hingga 17 Mei, sementara Kuala Lumpur mulai esok hingga 20 Mei. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here