Bazar Aidilfitri, pasar malam di Selangor dibenar operasi

0
3

Nilam Oshman

BAZAR Aidilfitri dan pasar malam dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor sehingga jam 10 malam dengan syarat ketat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata antara syarat adalah jumlah pengunjung pada satu masa dihadkan mengikut saiz bangunan dan premis.

“Maknanya kalau kapasiti satu-satu kawasan itu adalah pada 100 meter persegi manakala kadarnya 50 peratus iaitu 50 orang, kita turunkan kapasitinya.

“Menjadi tanggungjawab pengurus bangunan, pasar raya, pasar malam dan bazar Raya untuk mengawal selia perkara ini.

“Kita juga berbincang dengan polis jika ada sebarang pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP), kita akan tutup operasi serta-merta,” katanya dalam sidang media Majlis Keselamatan Negara, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mewajibkan sistem pengiliran untuk mengetahui jumlah kemasukan pengunjung ke tempat yang dibenarkan itu.

“Kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk ke bazar Raya dan pasaraya. Lain-lain perkara akan diputuskan dari semasa ke semasa oleh pengurusan bazar, PBT, RELA dan Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.

Beliau berkata, semua operator bazar Aidilfitri wajar melantik pegawai pemantau bagi memastikan pegunjung patuh SOP.

“Pengumuman pematuhan SOP kepada pengunjung  juga perlu dilakukan secara berualang-ulang.

“Berdasarkan maklumat dan gambar  yang diperoleh di pasar raya, bazar dan sebagainya, kita melihat kepatuhan (SOP) itu sangat rendah dan kadang-kala mereka tidak sewajarnya membawa anak-anak di bawah dua atau tiga tahun.

“Jadi pegawai-pegawai yang dilantik ini harus melaporkan maklumat setiap waktu supaya kawalan SOP dapat diperketatkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya operator tidak mengikut SOP maka mereka akan dikompaun dan bazar terbabit ditutup. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here