Vaksin AstraZeneca akan ditawar ke negeri-negeri zon merah Covid-19

0
2

PEMBERIAN vaksin Covid-19 AstraZeneca secara sukarela yang bermula hari ini, akan diperluaskan ke negeri-negeri zon merah wabak berkenaan tidak lama lagi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata negeri yang terlibat akan diputuskan Pasukan Pengurusan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) serta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Beliau berkata, perluasan itu diputuskan selepas sambutan luar jangkaan daripada orang ramai terhadap slot janji temu vaksin tersebut di sebalik kebimbanhan terhadap kesan sampingannya sebelum ini.

“Maka CITF dan JKJAV berpendapat kita boleh bawa ke negeri-negeri merah lain… kita akan putuskan dalam masa terdekat negeri mana,” katanya.

Terdahulu beliau meninjau hari pertama proses pemberian vaksin AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak berkaitan lain bagi membolehkan orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin AstraZeneca bukan secara dalam talian.

“Ada juga minta supaya pemilihan atau pilihan vaksin AstraZeneca dibuat dengan cara lain (bukan secara dalam talian).

“Kita akan bincang terutama ini akan memudahkan mereka yang mungkin tiada akses internet,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa puas hati terhadap perjalanan proses pemberian vaksin AstraZeneca di WTC Kuala Lumpur.

Hari ini bermula pemberian vaksin AstraZeneca kepada sukarelawan bermastautin di Selangor dan Kuala Lumpur.

Selain WTC Kuala Lumpur, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terlibat ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

Ahad lalu, tempahan slot vaksin AstraZeneca (AZ) yang dibuka bermula 12 tengah hari, habis hanya dalam tempoh kira-kira tiga jam sahaja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here