PASTI RAMAI yang bersetuju dengan ayat, ‘rezeki tidak akan datang bergolek jika kita tidak berusaha mencarinya’.
Namun, ramai juga yang lupa bahawa ia juga boleh datang tanpa dijemput seperti tidak disangka-sangka.
Menerusi satu hantaran Facebook Syed Azwan Syed Ali, lelaki ini percaya rezeki itu milik dan rahsia tuhan yang berhak untuk memberikannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Peristiwa membaiki kereta Perodua Kancil kesayangan di sebuah bengkel Pian Auto di Sungai Kantan, Kajang, nyata telah merubah tanggapan Syed Azwan yang selama ini kurang percaya kepada rezeki yang tidak disangka-sangka.
Dia pada mulanya diberitahu kerosakan keretanya dalam anggaran RM1,200 sahaja, namun disebabkan keretanya lama tidak diselenggara banyak kerosakan lain yang perlu diperbaiki dan kos membaik pulih mencecah RM2,000.
“Baiki gearbox kereta kancilku rosak Jumaat lalu. Harga tukar gearbox halfcut, upah, siap minyak sekali total RM1,200.
“Tapi keretaku kereta lama dan banyak rosak. Mounting enjin, mounting gearbox, absorber belakang, lower arm, kabel plug perlu ditukar.
“Dipendekkan cerita, total kos baiki RM2000. Jam 5 petang semalam masa ambil kereta, terkejut kerana baki RM800 ini sudah dibayar seorang hamba Allah,” catatnya.
Lebih menghairankan, Syed Azwan yang juga bekas wartawan Berita Harian dan Bernama berkata, sehingga hari ini dia tidak kenal dan tahu siapakah lelaki misteri yang dikirim tuhan membantu menyelesaikan masalahnya itu.
“Rezeki abang ini, ada hamba Allah bayarkan.. gearbox kancil abang dah ok, lain pun kita dah repair, kata si Pian, owner bengkel.
“Allahu, aku terkedu. Hujan renyai, turun makin laju. Majoriti kita percaya rezeki itu ‘datang’ asbab (kerana) usaha kita.
“Tapi apa yang berlaku kepada aku semalam membuktikan yang rezeki juga datang dari arah tidak disangka-sangka,” katanya.
Mengulas lanjut, Syed Azwan berkongsi cerita bahawa dia menaiki Grab pergi ke Bengkel itu untuk mengambil keretanya yang telah siap dibaiki.
“Dalam kereta kami banyak bercerita tentang rezeki dan pemandu Grab itu bercerita betapa sukarnya dia sekeluarga hidup zaman Covid, ditambah peritnya PKP.
“InshaAllah, tuhan permudahkan urusan kita bang
“Tambang Grab dari Semenyih ke Kajang RM19 tapi aku beri RM30. Bukan apa cuma nak kejar berkat Ramadan, mana tahu RM11 inilah yang bela aku di akhirat nanti,” jelasnya.
Menurut Syed Azwan, dia bukan nak berbangga dengan bantuan oleh lelaki kiriman tuhan itu, tetapi hanya hendak berkongsi dengan orang ramai tentang rezeki itu rahsia tuhan.
“Catatan ini bukan untuk menyatakan kebaikan RM11, tapi kebaikan hamba Allah yang tolong bayarkan RM800 kos baiki kereta aku tanpa sebab.
“Rezeki itu rahsia tuhan, rezeki ada kadar dan waktu. Terima kasih Ya Rabb… Terima kasih hamba Allah dan moga tuhan menggandakan rezekimu sahabat dengan kesihatan dan keberkatan tidak bertepi,” catatnya. – Malaysiapost

