PEMAIN sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam keadaan stabil dan baik di sebalik kecederaan serius dialaminya ketika aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) malam tadi.
Pemain berasal dari Argentina itu tidak sedarkan diri seketika pada babak kedua selepas bertembung dengan pemain pertahanan KDA FC, Renan Alves.
Perkembangan Cabrera dikongsi wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi ciapan di Twitter miliknya.
“Gonzalo Cabrera beri isyarat ok,” ciap Zulhelmi sambil menyertakan gambar pemain berusia 32 tahun itu menunjukkan isyarat tangan tanda bagus.
Sebelum insiden tersebut, Cabrera sedang membawa bola dari sebelah tepi menghala ke kota penalti KDA FC sebelum bertembung dengan Alves yang cuba menghalang gerakannya.
Berdasarkan visual menerusi siaran langsung, badan Alves yang tegap terlanggar kepala Cabrera menyebabkan dia terbaring dan tidak sedarkan diri buat seketika.
Sejurus kemudian, pegawai perubatan kedua-dua pasukan dikejarkan ke dalam padang untuk memberikan rawatan segera.
Dia kemudian dikejarkan ke hospital untuk diberikan rawatan lanjut.
Dalam aksi di Stadium Darul Aman itu, JDT mengekalkan kedudukan di tangga teratas apabila menang tipis 1-0 ke atas tuan rumah menerusi jaringan penalti Bergson da Silva. – Malaysiapost

