GARA-GARA takut lubang hidung dijolok bagi menjalani ujian saringan Covid-19, empat beranak disahkan positif dan seorang daripadanya kini sedang kritikal.
Seorang doktor di Hospital Pasir Puteh, Kelantan melahirkan kekesalannya terhadap satu keluarga tujuh beranak yang lambat melakukan ujian saringan itu walaupun menyedari mereka adalah kontak rapat kepada saudaranya yang positif Covid-19.
Menerusi satu hantaran Facebook, Dr Noorhidayu Mohamed Noor berkongsi pengalamannya merawat satu keluarga yang sudah sembilan hari mengalami gejala positif Covid-19, akhirnya tidak berdaya menanggung kesakitan sebelum mendapatkan rawatan di hospital.
“Saya menguruskan kes melibatkan satu keluarga ini. Empat daripada tujuh disahkan positif. Si ibu yang masih muda, tapi mempunyai kencing manis dan darah tinggi. Anak bongsu yang belum bersekolah juga disahkan positif. Tiga lagi baru sahaja membuat saringan, keputusan belum keluar.
“Bermula dengan si ibu demam, batuk, hilang deria rasa. Sejak sembilan hari yang lepas! Kemudian mula berjangkit dengan anak-anak dan suami.
“Sepanjang tempoh sembilan hari tu, banyak kali mereka terfikir untuk ke klinik. Tapi takut dijolok hidung! Takut kena pakai gelang pink!,” catatnya.
Entah di mana silapnya, Dr Noorhidayu kesal dengan keluarga ini tidak melakukan ‘swab test’ awal yang mungkin boleh mengelakkan jangkitan dalam kalangan mereka dan situasi ibu tidak menjadi kritikal.
“Bila ditanya lagi, rupa-rupanya mereka ada kontak dengan ahli keluarga yang positif dari daerah lain. Mereka bertemu beberapa hari sebelum si ibu jatuh sakit.
“Masa bertemu, ada ahli keluarga di sana sudah bergejala. Beberapa hari kemudian ada yang disahkan positif. Jadi mereka tahu mereka berisiko, lebih-lebih lagi apabila mula bergejala.
“Walaupun sepatutnya ahli keluarga ini menjalani saringan lebih awal sebagai kontak, tetapi ‘somehow’ mereka tidak dikesan.
“Mungkin maklumat tidak diberikan kepada pejabat kesihatan. Mungkin juga penyiasat tidak sempat mengorek maklumat sedalam-dalamnya sebab bebanan kes yang melampau,” catatnya.
Menurut Dr Noorhidayu, si ibu terpaksa dipindahkan ke wad kecemasan kerana ujian x-ray menunjukkan paru-parunya kekurangan oksigen yang kritikal.
“Disebabkan ada penyakit kronik lain, si ibu dimasukkan ke hospital. Baru sahaja sesuap nasi masuk ke dalam mulut ketika berbuka, saya menerima notifikasi WhatsApp daripada doktor yang menerima kes ini.
“Your patient desaturate on arrival! There was no oxygen monitoring along the journey. I don’t know for how long she has been hypoxic!’ (Pesakit boleh mati ketika sampai! Tidak ada pemantauan oksigen sepanjang perjalanan. Saya tidak tahu berapa lama dia alami hypoxic!).
“Pre-hospital care is lacking. I was horrified. The image of this x-ray daunting me all night long (Rawatan pra-hospital kurang memuaskan. Saya merasa ngeri. Imej x-ray menakutkan saya sepanjang malam),” cerita Dr Noorhidayu.
Tambah Dr Noorhidayu lagi, hatinya menjadi sayu ketika menghubungi si suami untuk memaklumkan situasi terkini isterinya dan meminta hadir ke wad untuk menjaga tiga orang anaknya yang masih kecil susulan ibu mereka dipindahkan ke wad kecemasan.
“I called her husband, to decide who going to take care of the poor kid. I have no choice but to break the bad news first (Saya hubungi suaminya untuk memutuskan siapa yang akan menjaga anak itu. Saya tidak mempunyai pilihan selain beritahu berita buruk terlebih dahulu).
“Allah…doktor…besarnya dugaan buat kami…tolong selamatkan isteri saya…tiga orang anak saya pun kena. Saya pun masih belum sihat ni…. Astargfirullahalazim…. Dah lama saya suruh isteri pergi buat saringan, kata si suami yang suaranya tenggelam timbul di dalam esakan tangis.
“Sabar encik…mengucap banyak-banyak. Sama-sama kita doakan isteri sembuh seperti sedia-kala…semoga ada keberkatan Ramadan ni. Kita sama-sama doakan ye,” pujuk Dr Noorhidayu.
Justeru, Dr Noorhidayu berharap orang ramai terutama yang menjadi ketua keluarga dapat memainkan peranan untuk membawa ahli keluarga segera melakukan saringan pengesahan Covid-19 jika menjadi kontak rapat.
Katanya, para pekerja perubatan adalah barisan hadapan negara yang sedia berkorban untuk memberi komitmen sepenuhnya membantu merawat pesakit Covid-19.
“1 May 2021, Hari Buruh, Cuti Umum. Tapi bukan buat kami. Bukan juga buat pasangan, anak-anak dan ibu bapa kami. Tiada istilah cuti buat kami semua. Tapi semestinya kami reda, ini tanggungjawab kami.
“Semalam, Pasir Puteh merekodkan hampir 40 kes baru! Kebanyakan kes melibatkan ahli keluarga.
“Dear friends and family (kepada rakan dan keluarga)…. Jangan musuhi kami. Jangan takuti kami. Kami di sini untuk membantu anda, sehabis daya kami. Kami di sini bukan untuk sakiti anda, tapi kerana kami lebih tahu perit dan sesalan yang bakal bertandang sekiranya semua ini tidak dibendung dari awal.
“Kami masih di sini bukan kerana pujian mahupun herdikan anda semua. Tapi kami masih di sini kerana inilah amanah kami.
Lillahitaala,” katanya. – Malaysiapost

