[Parlimen] BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengesahkan belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan mengenai kelulusan rundingan terus 101 projek bernilai RM6.61 bilion.
Ahli Parlimen Bagan itu menjelaskan segala urusan perlu melalui Kementerian Kewangan kerana maklumat projek yang terbabit tiada dalam simpanannya.
“Tidak ada (belum dihubungi SPRM). Kalau mereka ada hubungi saya, pihak SPRM kena hubungi Kementerian Kewangan dahulu. Mereka (Kementerian Kewangan) ada senarai projek-projek itu. Saya tidak ada, saya bukan menteri lagi.
“Yang ada cuma menteri sekarang. Jadi takkan saya boleh umumkan projek-projek itu, mana saya ada senarai itu.
“Butiran tidak diberi dalam apa-apa laporan. Hanya jumlah dinyatakan dalam laporan sedia ada. Dari segi projek-projek itu, mereka boleh memperolehnya,” katanya ketika ditemui media di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Guan Eng, beliau tiada sebarang masalah dengan kenyataan SPRM yang akan menjalankan siasatan lanjut berhubung 101 projek yang dinyatakan sebelum ini.
Malah, beliau meminta SPRM menyiasat projek-projek ketika kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Kami risau akan wujud masalah ‘antara dua darjat’ yang mana siasatan SPRM hanya dijalankan ke atas projek rundingan terus PH dan tidak bagi projek pemerintahan BN dan PN.
“Kegagalan SPRM membuka siasatan ke atas projek runding terus kerajaan BN dan PN boleh menimbulkan persepsi negatif antara dua darjat atau ‘double standard’,” katanya.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mendedahkan maklumat terperinci 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang dikatakan diperoleh secara rundingan terus ketika pentadbiran PH.
Menurutnya, projek rundingan terus dibenarkan namun pendedahan
itu seperti ingin menyatakan ia adalah satu kesalahan. – Malaysia Post

