AKTIVITI rentas negeri dan daerah membabitkan enam daerah di Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Khamis ini hingga 17 Mei, adalah tidak dibenarkan sama sekali kecuali atas urusan kecemasan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata selain itu premis makanan seperti restoran, trak makanan, penjaja dan kiosk dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 malam.
“Kedai runcit, serbaneka dan keperluan harian serta Farmasi juga dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam.
“Stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam, bagaimanapun stesen minyak di lebuh raya boleh beroperasi 24 jam,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, selain itu hospital, klinik dan makmal perubatan boleh beroperasi seperti biasa, manakala operasi pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 2 petang sahaja.
“Bazar Ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi namun mengikut SOP ketat. Bagaimanapun keputusan untuk meneruskan atau menutup operasi bazar adalah tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Bagi mengetahui SOP lanjut berhubung PKP di enam daerah ini, orang ramai boleh mengakses laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya. – Malaysiapost

