Tabung Harapan kutip RM202 juta

0
3

Nilam Oshman

[PARLIMEN] KEMENTERIAN Kewangan memaklumkan dana akaun Tabung Harapan menerima sumbangan terakhir yang direkodkan pada 14 Januari 2019 berjumlah lebih RM202 juta.

Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata sehingga 1 Disember 2019, dana tabung itu, termasuk semua faedah berjumlah lebih RM 205 juta telah digunakan untuk melunaskan sebahagian hutang 1MDB.

Beliau memberitahu dana tersebut juga telah dibelanjakan mengikut tatacara yang termaktub iaitu untuk membayar hutang kerajaan Persekutuan dan diurus tadbir oleh jawatankuasa akaun secara amanah.

“Pengunaan dana dalam akaun itu mengikut tatacara yang termaktub dalam arahan untuk bayar hutang kerajaan Persekutuan dan pembayaran yang perlu digunakan untuk tujuan akaun itu sahaja,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS – Pasir Mas) mengenai status terkini Tabung Harapan dan ke mana wang tersebut disalurkan.

Tabung Harapan dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Mei 2018.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata segala rekod penyumbang dalam Tabung Harapan yang diterima melalui akaun Maybank tidak dapat didedahkan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2020.

Bagaimanapun, katanya, semua penyumbang kepada akaun terbabit boleh memohon untuk pengecualian cukai. – Malaysiapost