Nurul Huda Abhar
UMNO sudah tidak boleh mengamalkan konsep ‘one man show’ atau seorang sahaja bertindak sebagai dominan, iaitu satu tokoh yang menguasai segala-galanya.
Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata pilihan jajaran baharu perlu dipertimbangkan kerana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno terdiri daripada pelbagai lapisan dan berkebolehan mengutarakan pendapat dalam bidang masing-masing.
“Soal tokoh (Perdana Menteri) memang penting. Hari ini belum ada sebarang keputusan walaupun kita ada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, kita tahu. Maknanya kita bakal berdepan dengan keadaan itu sehingga sampai Pilihan Raya.
“Pilihan jajaran baharu yang kita nak bergantung juga pada penerimaan kepimpinan Umno hari ini bahawa inilah masa untuk berubah, inilah masa untuk memberi cara yang baharu.
“Kita tidak perlu balik semula kepada kaedah Presiden Umno mesti jadi Perdana Menteri,” katanya dalam temu bual Bicara Tokoh disiarkan secara dalam talian, hari ini.
Shahrir berkata, Umno perlu mempunyai calon dua tokoh yang berkebolehan untuk menjaga parti dan seorang lagi bertindak mengetuai kerajaan.
Beliau juga memetik kata-kata bekas Perdana Menteri Tun Hussein Onn, yang mana pernah memberitahunya akan tiba masa Umno berbeza kepimpinan parti dan berbeza daripada kerajaan.
“Dia (Tun Hussein) kata perkara itu akan terjadi. Sebab parti itu akan jadi lebih besar dan kerajaan akan jadi kompleks. Jadi soal urus tadbir kerajaan dan juga kepimpinan parti mungkin perlu kepada kemahiran atau kemampuan yang berlainan.
“Kita kata itu mungkin akan berlaku, tapi bukan semasa waktu dia sebab pada ketika itu masih mudah lagi, tidak kompleks lagi seperti kini,” katanya lagi.
Sementara itu, Shahrir berkata, Umno mampu membentuk jajaran baharu untuk membentuk parti politik dan kerajaan oleh kerana dianggotai oleh wakil parti yang mempunyai kebolehan urus tadbir yang tertentu.
“Dari yang kita lihat dan saya terangkan, parti sendiri sudah ada jurucakap dari bidang tertentu, dan sudah mula terima kunjungan duta-duta asing.. jadi keadaan ini adalah kes istimewa tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dan Umno sendiri.
“Jadi berani atau tidak kita melangkah ke jajaran baru ini?,” katanya. – Malaysiapost
