Budak 3 tahun lemas tergelincir longkang

0
2
grafik

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemui lemas selepas tergelincir ke dalam longkang berhampiran rumahnya di Felda Gunong Bongsu, sebelum dihanyutkan ke dalam Sungai Dingin di Kulim, Kedah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu mangsa, Naera Dellisha Muhammad Nazri dikatakan sedang bermain bersama beberapa kanak-kanak lain sebelum terjatuh ke dalam longkang terbabit.

Katanya, Abang mangsa, Muhammad Thaqif yang berusia lapan tahun pulang ke rumah dan memaklumkan mengenai kejadian itu kepada bapanya, Muhammad Nazri Abu Saman, 36.

“Bapa mangsa serta beberapa ahli keluarga lain bergegas keluar mencari mangsa. Mangsa yang jatuh ke dalam longkang dibawa arus deras ke longkang besar sebelum dihanyutkan ke dalam Sungai Dingin,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mayat mangsa dijumpai orang awam kira-kira jam 8 malam tiga kilometer dari tempat mangsa dilaporkan jatuh.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 7.24 malam.

Katanya, operasi disertai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech dengan sebuah jentera serta sebuah kenderaan utiliti.

“Anggota melakukan pencarian di permukaan air sungai dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here