Polis siasat video lelaki tempatan pukul warga asing

0
2

POLIS menyiasat video tular kejadian seorang lelaki warga asing dipukul sekumpulan lelaki di kawasan kaki lima kedai di Taman Alam Jaya Batu 9 Cheras, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata video berdurasi satu minit 21 saat itu memaparkan mangsa dipukul sekumpulan lelaki dikenali dengan nama Yusuf Azmi, Abang Ali dan beberapa lagi yang belum dikenalpasti. 

“Insiden ini jelas merupakan kejadian kekerasan jenayah yang boleh disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. 

“Ia juga kejadian yang mengganggu gugat serta mendatangkan kekacauan kepada ketenteraman awam kerana ia berlaku di kawasan awam yang terbuka,” katanya melalui kenyataan semalam. 

Mohd Zaid berkata, penelitian ke atas video itu juga mendapati, kumpulan lelaki itu telah melanggar beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul serta tidak menjaga penjarakan fizikal. 

“Sehubungan itu, kita telah membuat laporan polis berhubung kejadian ini bagi tujuan siasatan lanjut. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Bagi kesalahan melanggar SOP PKPB, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan / 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. 

Mohd Zaid memaklumkan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Mohd Radzee Jamudi di talian 019-665 5811. 

Terdahulu, tular klip video di laman sosial menunjukkan sekumpulan lima hingga enam lelaki menyoal seorang lelaki dipercayai warga asing di hadapan sebuah kedai. 

Menerusi video itu, seorang lelaki kemudian memukul lelaki warga asing berkenaan diikuti beberapa rakannya. 

Beberapa hantaran di Facebook mendakwa kejadian itu dilakukan pengerusi dan pengikut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang marah kepada suspek kerana didakwa menjual baju cetak rompak NGO terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here