Tudung bawal, shawl bercorak jadi rebutan menjelang Aidilfitri

0
2

Nurul Huda Abhar 

FENOMENA bawal bercorak kembali menjadi kegilaan menjelang Aidilfitri tahun ini, meskipun pelbagai jenis hijab atau trend pemakaian tudung silih berganti dalam arena fesyen muslimah. 

Tinjauan Malaysiapost di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) baru-baru ini mendapati kedai menjual tudung hampir semuanya menpamerkan bawal bercorak di patung-patung hiasan mereka. 

Pemilik kedai tudung, Neti Syamsimar, 36, berkata permintaan untuk bawal jenis voile bercorak meningkat menjelang Ramadan. 

Menurutnya, selain tudung jenis bawal, selendang atau ‘shawl’ dari jenis chiffon bercorak dengan rona pastel juga mendapat sambutan untuk digayakan pada Aidilfitri. 

“Tudung bawal kebanyakan pelanggan akan pilih kain voile lembut dan bercorak. Kami juga jual tudung secara borong jadi memang ramai penjual buat tempahan untuk bawal bercorak. 

“Mereka yang beli secara borong biasanya akan jual sekitar RM39 hingga RM49 sehelai. Disebabkan sekarang ekonomi tak berapa baik, penjual tak berani ambil stok banyak. Tapi memang kalau bawal corak cepat mereka restock. 

“Shawl bercorak pun laku. Sekarang trend tudung bercorak dan corak pastel. Sebenarnya tudung ni ikut citarasa juga. Jika ikutkan tudung sarung instant pun ramai yang beli sebab mudah dan sopan,” katanya yang sudah lapan tahun berniaga di TAR. 

Bagi Sapri Bujang, 34, yang menjual tudung di Bazar Aidilfitri TAR juga mengakui tudung bawal jenis chiffon kini semakin mendapat tempat di hati wanita berhijab. 

Sapri berkata, kemungkinan ‘tagline’ bawal anti kedut yang kian popular menaikkan kembali fesyen tudung bawal yang tidak ditelan zaman itu. 

Bagaimanapun, katanya, tudung sarung ‘Alfaro’ juga mempunyai peminat tersendiri dari kalangan para ibu yang ingin bergaya anggun di pagi raya dengan mudah dan cepat. 

“Bawal chiffon sekarang mudah sebab tidak perlu gosok, itu yang ramai yang suka. Harga RM15 hingga RM25. Corak menarik dan bawal kosong pun ada. Sesuai nak gayakan dengan baju raya. 

“Shawl kosong memang kita ambil stok sentiasa sebab memang dari dulu ramai yang pakai. Tudung sarung ‘Alfaro’ kami jual RM35 sebab labuh. 

Tambah Sapri, beliau terpaksa menurunkan harga tudung bawal kosong berbatu serendah RM10 sehelai bagi menghabiskan stok jualannya yang sedikit perlahan sebelum ini berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here