POLIS akan memanggil penganjur majlis tahnik anak Datuk Seri Siti Nurhaliza bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya sudah mengenal pasti penganjur majlis dan akan dipanggil dalam masa terdekat.
Menurutnya, pada jam 11.24 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengesan satu artikel berkaitan ketidakpuasan hati netizen dalam satu majlis yang diadakan seorang selebriti tanah air di kediamannya di Bukit Antarabangsa.
“Terdapat juga beberapa gambar di dalam artikel menunjukkan kehadiran beberapa individu kenamaan dan penceramah agama terkenal ke majlis berkenaan.
“Susulan itu, IPD Ampang Jaya menerima satu laporan polis berkaitan isu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Orang ramai dinasihat supaya sentiasa sensitif dan mengutamakan SOP dalam sebarang aktiviti yang dijalankan.
“Polis juga meminta orang ramai tidak membuat spekulasi kerana kes masih lagi dalam peringkat siasatan,” katanya.
Terdahulu, majlis tahnik yang diadakan oleh penyanyi terkemuka tanah air, Siti Nurhaliza menimbulkan persoalan netizen berhubung kehadiran individu-individu ternama.
Malah, kebanyakan mereka turut tidak puas hati apabila individu itu didakwa merentas negeri untuk hadir ke majlis berkenaan.
Bagaimanapun, Siti Nurhaliza hari ini tampil menjawab kekeliruan berhubung kehadiran seorang pendakwah terkenal dikatakan rentas negeri bagi menghadiri majlis tahnik putera mereka, Muhammad Afwa.
Sebaliknya Siti berkata, individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.
Jelasnya lagi, mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-bakri, bukanlah majlis khas seperti yang disangkakan. – Malaysiapost

