
KERAJAAN akan memperluaskan pemberian vaksin AstraZeneca secara sukarela ke seluruh negara susulan ada individu yang tidak dapat menempah slot suntikan vaksin berkenaan semalam.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata ia bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada internet dan laman sesawang diiklankan serta pengagihan vaksin.
Menurutnya, Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) menjangka lebih banyak vaksin AstraZeneca akan tiba dalam bulan mendatang, dengan sejumlah 1.1 juta tempahan kedua dari fasiliti COVAX akan diperoleh bulan ini dan ia akan terus ditawarkan secara pengambilan sukarela.
“Program pertama yang dibuka semalam hanya untuk Selangor dan Kuala Lumpur tetapi saya menyedari ia memberi cabaran kepada mereka yang tidak mempunyai akses internet dan laman sesawang yang dinyatakan.
“Pada masa depan, kami akan mengambil kira mereka yang tidak mempunyai akses ini dan mendekati klinik komuniti bagi memastikan vaksin ini dapat ditawarkan secara sukarela,” katanya pada sidang media mingguan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), di Putrajaya hari ini.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Khairy berkata, penawaran secara sukarela bagi vaksin jenis itu dibuat selepas pihaknya mendapati sehingga 8,000 individu yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin melalui PICK, membatalkan pendaftaran masing-masing selepas mengetahui AstraZeneca antara vaksin ditawarkan.
Katanya, ada juga yang tidak hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) untuk menerima suntikan masing-masing.
“Selepas kerajaan mengumumkan pemberian AstraZeneca dibuat secara sukarela, sehingga 80 peratus mereka yang membatalkan pendaftaran kembali mendaftar melalui PICK.
“JKJAV akan menilai semua pembatalan itu dengan mendalam dan laporannya akan diumumkan kelak,” katanya. – Malaysiapost
