Pendakwah setuju hadir kerana kebetulan ada di KL – Siti Nurhaliza

0
2

Nurul Huda Abhar

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Mohamad Jiwa tampil menjawab kekeliruan yang timbul berhubung kehadiran seorang pendakwah terkenal dikatakan rentas negeri bagi menghadiri majlis tahnik putera mereka, Muhammad Afwa.

Menerusi kenyataan media, Siti dan suami memberitahu tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku, sebaliknya pendakwah itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis diadakan.

“Memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial PKPB seperti tertakluk pada tempoh itu.

“Majlis juga terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ketujuh mengikut sunnah Rasulullah,” katanya hari ini.

Mengulas berhubung kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kenyataan itu menjelaskan ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

“Sebaliknya beliau (Zulkifli) hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin,” katanya lagi.

Terdahulu, Siti dibanjiri kecaman netizen selepas didakwa menjemput beberapa pendakwah bebas dari negeri lain ke majlis tahnik anak lelakinya, Muhammad Afwa baru-baru ini.

Pertikaian timbul selepas beberapa keping foto memaparkan seorang menteri dan pendakwah terkenal dilihat hadir ke majlis berkenaan yang diadakan di kediamannya pada Khamis lalu.

Antara pendakwah terkenal yang hadir di majlis tersebut adalah Ustaz Don Daniyal, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Iqbal Zain Al Jauhari.

Difahamkan acara aqiqah sempena kelahiran bayi serta sambutan maulid nabi turut diadakan pada majlis sama.

Susulan daripada foto tular berkenaan, netizen mempersoalkan bagaimana salah seorang pendakwah yang dipercayai menetap di Terengganu dibenarkan merentas negeri untuk hadir ke majlis berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here