Hala tuju, fokus PDRM akan dibentang – Acryl Sani

0
2

KETUA Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani akan membentangkan hala tuju Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah kepimpinannya tidak lama lagi.

Bercakap dalam sidang media pertamanya sebagai pemimpin nombor satu PDRM hari ini, Acryl Sani berkata tanggungjawab dipikul beliau seolah-olah menggalas beban berat di atas bahunya.

Bagaimanapun, beliau yakin tidak akan bersendirian menggalasnya kerana turut dibantu barisan kepimpinan pasukan itu.

“Saya yakin atas kepercayaan barisan pengarah, ketua polis negeri dan ketua polis daerah untuk kita teruskan usaha ke arah kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

“Insya-Allah saya akan umumkan hala tuju baharu dalam sesi akan datang,” katanya selepas menerima tongkat kuasa Ketua Polis Negara daripada Tan Sri Abdul Hamid Bador di Bukit Aman hari ini.

Sementara itu, Acryl Sani berkata beliau akan membentangkan fokus dan tindakan PDRM termasuk berhubung isu integriti dalam sesi khas kepada media tidak lama lagi.

“Saya akan bentangkan apa perkara yang perlu dilihat dan difokuskan ikut turutan isu. Tunggulah nanti kita akan ada sesi yang lebih menyeluruh,” katanya ketika mengulas isu integriti pasukan polis yang dibangkitkan Abdul Hamid.

Minggu lalu, Abdul Hamid membangkitkan isu integriti ketika menceritakan usahanya membasmi salah guna kuasa dan rasuah dalam pasukan polis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here