YANG di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada pelajar muda Malaysia, Cheryl Chow Shu Wei atas kejayaan dinobatkan ‘Top In The World’ bagi subjek Kimia dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education.
Menerusi kenyatan di Facebook rasmi Istana Negara, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas pencapaian cemerlang Shu Wei, sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan pelajar dan belia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada adik Cheryl Chow Shu Wei dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa di masa hadapan.
“Sesungguhnya, kejayaan adik Cheryl Chow Shu Wei sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan pelajar dan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.
“Ia juga membuktikan dengan iltizam dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa,” katanya.
Shu Wei, 17, pelajar Sekolah Antarabangsa Beaconhouse Sri Inai, Petaling Jaya, memperoleh pengiktirafan daripada Cambridge Assessment International Education setelah mengenepikan hampir sejuta pelajar lain dari seluruh dunia semasa acara Outstanding Cambridge Learner Awards, baru-baru ini.
Beliau memperoleh markah piawaian tertinggi dalam peperiksaan IGCSE bagi mata pelajaran Kimia dan pernah dinobat peserta terbaik di acara Mangahigh East Asia Maths Challenge 2019, mengatasi 14,240 pelajar dari Jepun, Korea Selatan, Singapura dan negara-negara sekitar Asia Timur.
Beliau pernah memperoleh pingat emas di acara Kangaroo Math Competition peringkat kebangsaan dan di pertandingan University of St Andrews Competition juga pada 2019.
Pada 2019 dan 2020, Shu Wei dianugerahkan pingat emas dalam Queen’s Commonwealth Essay Competition. – Malaysiapost

