KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Senator Ir Khairil Nizam Khirudin mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan kebenaran individu pulang ke kampung sempena Aidilfitri ini, dengan syarat mereka memlakukan ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum perayaan berkenaan.
Jelasnya, sekiranya keputusan ujian saringan itu didapati negatif, maka pergerakan rentas negeri boleh dibenarkan.
“Saya nak ‘highlight’ cadangan saya kepada MKN. Mungkin MKN boleh pertimbangkan untuk izinkan mereka yang perlu pulang ke kampung dengan syarat membuat swab test dan jelas terbukti melalui pembuktian sains negatif Covid-19.
“Kalau MKN terima Alhamdulillah, kalau tak dapat saya pasrah, yang penting saya patuh pada arahan dan ketetapan MKN,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap orang ramai berhenti mengecam Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berhubung kenyataan haram pulang beraya ke kampung jika menipu.
Katanya, perkara yang hendak disampaikan oleh mufti bahawa hal-hal berkaitan penipuan termasuk dalam sesuatu perkara yang haram.
Jelasnya, begitu juga alasan diberi seseorang yang hanya memikirkan kepentingan diri sendiri tetapi membawa kemudaratan kepada orang lain semata-mata mahu pulang ke kampung pada Hari Raya ini, termasuk kategori menipu dan haram.
“Saya terpanggil untuk respon kenyataan Sohibus Samahah Dr Luqman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan yang tular dikecam oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Balik kampung untuk khidmat ibu dan ayah tuntutan besar di dalam al-Quran, tetapi kalau tipu PDRM dengan muslihat dan tipu daya apatah lagi membawa pulang kemudaratan kepada ibu bapa dan negara, maka ia jadi haram. Boleh follow ke tu?
“Saya pelik ada yang sukar untuk faham. Bagi saya ia matematik mudah. Tidak sukar. Langgar larangan Nabi SAW haram. Tipu penguatkuasa, haram. Tipu ini haram jelas di dalam Islam. Kita pun ajar anak-anak kita untuk jangan menipu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa Mufti Wilayah Persekutuan tidak boleh mengajar umat Islam untuk tidak menipu.
“Langgar arahan pemerintah negara (ulil Amri) dalam perkara yang jelas tidak bertentangan dengan syarak adalah haram.
Mencaci maki sesama muslim adalah haram.
“Kan dah berbakul-bakul tu salahnya. Saya harap Ramadan dapat jadi tempat untuk kita kembali kepada fitrah asal, iaitu suci daripada segala sifat buruk dan rosak akhlak,” katanya. – Malaysiapost

